Pingat dan Darjah Kebesaran Azizan Ariffin

Sebagai mengenang jasa dan penghargaan atas sumbangan serta khidmat bakti yang telah dicurahkan kepada negara dan Perkhidmatan, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Azizan telah dikurniakan dengan beberapa darjah kebesaran persekutuan, negeri dan juga ATM. Antara darjah kebesaran tersebut adalah Darjah Kebesaran Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT), Darjah Kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) kurniaan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang Ke-13 yang membawa gelaran Tan Sri, Darjah Kebesaran Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT) kurniaan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Darjah Kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) kurniaan KDYMM Sultan Pahang yang membawa gelaran Dato’ Sri, Darjah Kebesaran Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) kurniaan KDYMM Sultan Pahang, Darjah Kebesaran Sri Panglima Taming Sari (SPTS) kuniaan KDYMM Sultan Perak membawa gelaran Dato’ Seri, Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) kuniaan KDYMM Sultan Pahang, Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Seri Setia Sultan Abdul Halim Muazam Shah (DHMS) dan Darjah Kebesaran Darjah Setia DiRaja Kedah (DSDK) kurniaan KDYMM Sultan Kedah.

Darjah-darjah kebesaran yang turut beliau terima adalah Darjah Pahlawan Angkatan Tentera (PAT), Johan Mangku Negara (JMN), Johan Setia DiRaja (JSD) dan Kesatria Angkatan Tentera (KAT) serta Pingat Jasa Malaysia (PJM).